RSS

Oh Malaysia Ku


Agama Islam sendiri menganjurkan untuk kita saling bermusyawarah dan berbincang sekiranya berlaku sebarang permasalahan, rasa tidak puas hati dan sebagainya. Kita  disarankan untuk menggunakan saluran yang tepat dan betul, sejajar dengan ajaran Islam itu sendiri. Kaedah ini adalah lebih baik dan mendatangkan banyak manfaat kapada kita. Justeru itu, pada hari Jumaat yang mulia ini marilah kita sama-sama berkongsi pandangan dan saling nasihat-menasihati, ingat-mengingati untuk renungan bersama. Ini kerana sikap ingat-mengingati itu memberi manfaat bagi orang mukmin dan umat Islam keseluruhannya.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.” (QS51:55).
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu marah, jangan kamu berhasad dengki dan jangan kamu bermasam muka, sebaliknya jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Salah satu sifat keji di sisi Islam adalah berprasangka buruk kepada orang lain. Perasan itu timbul daripada rasa dengki dan tidak puas hati atas apa yang diperoleh oleh orang lain atau sesuatu hajatnya tidak dapat dipenuhi, yang mana sifat keji ini kemudiannya berakar, menjalar  dan seterusnya membakar perasaan khianat dan dendam.

Bagi mereka yang memiliki penyakit hati dan perasaan sedemikian, mereka akan berasakan satu kepuasan dan kegembiraan apabila dapat melemparkan tuduhan tanpa usul periksa dan melayan perasaan sangka buruk. Mereka sanggup menyebarkan  melalui lidah (lisan), akhbar(bertulis), dan mungkin surat layang sebagai saluran bagi membangkitkan gelora benci serta iri hati yang tiada had tanpa mengambil kira risiko hancur luluhnya perasaan seseorang yang seagama mahupun sesama manusia.

Allah mengingatkan dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman! Jauhi kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan jangan kamu mencari kesalahan dan keaiban orang lain dan jangan sesetengah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12).

Islam menekan soal menjaga maruah dan peribadi Muslim. Bahkan, Islam menuntut disembunyikan keaiban orang lain walaupun kita mengetahuinya kerana Allah s.w.t akan menutup keaiban kita di akhirat kelak seandainya kita mampu menutup keaiban orang lain. Begitulah nilai dan indahnya Islam dalam mempertahankan maruah penganutnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berhati-hati kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam.” (Hadis riwayat Muslim).

Oleh yang demikian, sikap buruk sangka ini hendaklah dijauhi, apatah lagi didalam masyarakat kita yang majmuk ini. Ianya akan menimbulkan perasaan yang negatif dan akan merosakkan keharmonian di dalam sesebuah institusi permasyarakatan itu sendiri.

Islam melarang keras fitnah serta menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah s.w.t balasan azab yang pedih.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar. Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu semua bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW mengingatkan kita sentiasa menjauhi perbuatan keji kerana kesannya membawa budaya sangka buruk, fitnah-memfitnah dan serang-menyerang yang langsung tidak mempedulikan perasaan seagama adalah dilarang sama sekali. Perbuatan seperti ini melambangkan rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan akal yang dianugerahkan Allah.

Oleh itu, usah biarkan nafsu menguasai akal dan gunakan pertimbangan akal serta iman. Setiap pertuduhan perlu bukti yang kukuh. Serangan secara melalui dada akhbar bukan cara yang dituntut Islam. Cerita yang disebarkan dari mulut ke mulut tidak boleh dijadikan bukti untuk membenarkan segala dakwaan. Jika sesuatu berita yang tidak sahih dan sumber rujukan belum tentu kepastiannya, maka hendaklah diperiksa terlebih dulu.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita, maka periksa dengan teliti kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesal perbuatan kamu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Semua pihak didalam komuniti masyarakat kita mesti memainkan peranan masing-masing, menjalankan tugas dengan penuh amanah, bersikap adil, jangan sesekali berlaku kezaliman (meletakkan sesuatu perkara bukan pada tempatnya) sehingga menwujudkan sikap kurang puashati dalam komuniti terbabit.

Masyarakat harus haruslah mengamalkan sikap yang terpuji dengan meletakkan diri dalam posisi yang sebenar dengan sentiasa mengamalkan sifat sabar dalam menghadapi apa-apa jua situasi dan masalah kerana Allah s.w.t selalu bersama dengan orang sabar dan bawalah berbincanglah dalam menyelesaikan masalah, bertindaklah secara bijaksana, jangan dibiarkan masalah yang ada berlarutan sehingga berlaku kezaliman.

Di samping itu kita hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat Allah s.w.t yang memberi rezeki serta patuh perintahnya dan sentiasa juga menjauhi larangannya.

Allah berfirman bermaksud: “Dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahnya semata-mata.” (Surah an-Nahl, ayat 114)

Bukankah Allah menerangkan kepada umat Islam bahawa kunci keberkatan dan keamanan berkekalan adalah melalui rasa syukur kepadanya.

Firman-Nya bermaksud: “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Di sinilah keistimewaan agama Islam yang mengajar umatnya berbuat baik dan menunaikan tanggungjawab di samping menghargai nikmat dikurniakan Allah.

Kesimpulan yang boleh kita ambil menjadi iktbar didalam pengkongsian ilmu pagi ini diantaranya:

i.                   Jauhilah sikap bersangka buruk, fitnah-memfitnah kerana perbuatan seperti ini melambangkan rendahnya moral dan kurangnya akal, disamping boleh mengundang keburukan, kekejian, menghancurkan keharmonian serta merosakkan segala amalan kebajikan seperti api memakan sekam;

ii.                  Hindarkan diri dari menyebarkan berita tanpa usul periksa, kerana sikap ini membawa kita kepada penyesalan yang tiada penghujung; dan

iii.                Semua manusia akan dapat menikmati berkat muafakat serta kesepaduan hidup, tanpa mengira agama, budaya dan bangsa sekiranya individu muslim sentiasa mengamalkan budaya mensyukuri nikmat Allah s.w.t.

                  Wallahu'alam. Sekian, untuk renungan bersama...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment