RSS

Pesanan buat semua pasangan dan terutama suami.

Rina sedang menyiapkan makan malam ketika aku tiba di
rumah. Aku memegang tangannya dan berkata, “ Abang ada
sesuatu nak beritahu”. Dia membisu dan dapat ku lihat
keresahan di matanya.
Tiba-tiba lidahku kelu. Tapi aku nekad untuk
memberitahunya. “Abang rasa kita sudah tidak serasi lagi.
Kita cerai?”.Akhirnya, terlepas jua beban di dada. Tapi ku
lihat Rina tenang dan dia hanya bertanya dengan lembut.
“Mengapa bang? Apa salah saya?”. Giliran aku membisu dan
ini menimbulkan kemarahan Rina. Air matanya mula menitis.
Aku tahu dia mahukan jawapan tapi aku tiada jawapannya.
Yang ku tahu, hatiku kini milik Tasya. Cintaku bukan pada
Rina lagi.
Aku katakanya padanya yang dia boleh ambil rumah dan
kereta apabila kami bercerai. Rina merenung
wajahku.Pandangannya kosong. 10 tahun kami berkahwin
tetapi malam ni kami umpama orang asing. Aku
kasihankannya tetapi untuk berpatah balik tidak sesekali.
Aku cintakan Tasya. Air matanya yang sekian tadi bertakung
mula mengalir deras. Sudah ku jangka. Malah aku lega
melihatnya menangis. Niatku untuk bercerai semakin jelas
dan nyata.
Keesokannya, Rina mengatakan dia tidak mahu apa-apa dari
penceraian kami melainkan tempoh 1 bulan. Dia meminta
bahawa dalam satu bulan itu kami teruskan rutin harian kami
seperti biasa sebagai suami isteri. Alasannya, anak kami
bakal menduduki peperiksaan dalam masa sebulan lagi dan
dia tidak mahu anak kami terganggu dengan penceraian kami.
Aku bersetuju.
Kemudian Rina menyuruhku mengingat kembali saat aku
mendukungnya ke bilik kami pada malam pertama kami. Dia
meminta untuk tempoh sebulan ini, aku mendukungnya keluar
dari bilik tidur kami ke pintu depan setiap pagi. Pada ku
memang tidak masuk akal. Tetapi aku tetap bersetuju.
Aku memberitahu Tasya permintaan Rina. Dia ketawa dan
hanya mengatakan ini semua kerja gila. Tidak kira apa
muslihat Rina, dia tetap akan diceraikan. Aku hanya diam
membatu.
Semenjak aku menimbulkan isu penceraian, kemesraan kami
terus hilang. Hari pertama aku mendukungnya keluar, aku
merasa kekok. Rina juga. Anak kami bertepuk tangan di
belakang sambil ketawa dan berkata, “Ayah dukung ibu ya”.
Kata-katanya amat menyentuh hatiku. Mata Rina bergenang
dan dengan lembut dia memberitahuku agar jangan sampai
anak kami tahu yang kami akan bercerai. Aku mengangguk
setuju. Aku menurunkannya di muka pintu. Dan kami
memandu berasingan ke tempat kerja.
Masuk hari kedua, hilang sedikit rasa kekok. Rina bersandar
di dadaku. Dapat ku cium harumannya. Dapat ku lihat
kedutan halus di wajahnya Aku sedar dia tidak muda lagi
seperti dahulu. Ternyata perkahwinan kami memberi kesan
kepadanya. Selama satu minit, aku tertanya-tanya apa yang
telah aku lakukan.
Masuk hari keempat, aku dapat rasakan keintiman kami telah
kembali. Tanpa sedar hatiku berkocak mengatakan
mungkinkan cintaku masih padanya. Hari kelima dan keenam,
aku menyedari keintiman kami mula bercambah kembali. Aku
tidak memberitahu Tasya tentang perkara ini. Masuk hari-
hari seterusnya, rutin ini jadi lebih mudah malah aku
nantikannya setiap pagi.
Suatu pagi, Rina sedang memilih baju untuk dipakai. Katanya
tiada yang sesuai. Dia mengeluh. “Semua baju saya besar”.
Baru ku sedar, dia semakin kurus. Mungkin itu jugalah
sebabnya aku semakin mudah mendukungnya. Tiba-tiba
terlintas di fikiranku. Mungkin Rina sedang menyembunyikan
keperitan hatinya lantaran sikapku selama ini. Tanda sedar
aku merangkul tubuhnya dan membelai rambutnya.
Kemudian, muncul anak kami di muka pintu sambil berkata “
Ayah, cepat lah dukung ibu keluar”. Padanya, melihat aku
mendukung keluar isteriku setiap pagi adalah rutin
hariannya. Rina memanggil anak kami lalu memeluknya erat.
Ku palingkan mukaku kerana takut aku sndiri mengubah
fikiran di saat ini. Aku kemudian mendukungnya dan
tangannya melingkari leherku. Tanpa sedar, ku eratkan
rangkulanku. Dapat ku rasakan badannya sangat ringan.
Hari ini genap sebulan. Di muka pintu aku menggenggam
tangannya dan berkata “ Abang tidak sedar yang selama ini
kita kurang keintiman”. Aku terus melangkah ke kereta dan
terus memandu ke pejabat. Sesampainya di pejabat, aku
terus ke bilik Tasya. Sebaik pintu terbuka, aku masuk dan
aku beritahu dia “Maaf Tasya. Saya tidak akan bercerai
dengan Rina. Sekarang saya sedar saya masih cintakan dia”.
Muka Tasya berubah merah. Tapi ku kata jua,“Maaf Tasya.
Saya dan Rina tidak akan bercerai. Perkahwinan kami
membosankan mungkin kerana saya tidak menghargai apa
yang kami ada dan kongsi selama ini, bukan kerana kami
tidak lagi menyintai satu sama lain”. Tasya menjerit sekuat
hati dan aku terus melangkah keluar.
Aku kembali ke kereta dan niat hatiku mahu pulang ke rumah
dan memohon maaf dari Rina, isteriku. Aku singgah di sebuah
kedai bunga untuk membeli sejambak tulip merah kesukaan
Rina. Aku capai sekeping kad dan ku tulis, “Abang akan
dukung Rina setiap pagi hingga maut memisahkan kita”.
Setibanya di rumah, aku terus berlari ke bilik kami dan
mendapati Rina terbaring tenang di atas katil. Ku belai
wajahnya sambil memanggil namanya tapi tiada sahutan. Rina
kaku. Hatiku berdetak keras.
Kini Rina pergi untuk selamanya. Perpisahan yang ku pinta
ternyata ditunaikan. Sekian lama Rina berperang dengan
KANSER RAHIM tetapi aku begitu sibuk dengan Tasya untuk
menyedarinya. Rina tahu bahawa dia akan mati tidak lama
lagi dan dia mahu menyelamatkan aku daripada reaksi
negatif dari anak kami, sekiranya kami tetap bercerai. Rina
mahu sekurang-kurangnya di mata anak kami, aku adalah
suami yang penyayang.
Perkara-perkara mudah dan ringkas yang anda lakukan
bersama adalah yang sebenarnya penting dalam perkahwinan.
Bukan banglo, kereta, harta, dan wang di bank. Semua itu
hanya wujudkan persekitaran yang kondusif untuk
kebahagiaan tetapi tidak dapat memberi kebahagiaan pada
kita.
Jadi carilah masa untuk menjadi sahabat kepada isteri/suami
anda dan lakukan perkara-perkara kecil untuk satu sama lain
yang membina keintiman. Binalah kemanisan rumah tangga
anda. Hargailah setiap pengorbanan pasangan anda..

0 comments:

Post a Comment